Translate

Wednesday 14 November 2012

Tokyo Story (1953)


Tokyo Story merupakan sebuah filem keluaran tahun 1953 dan diarahkan oleh Yasujiro Ozu. Plot filem ini sangat mudah, tapi mempunyai mesej yang mendalam. Ceritanya berkenaan sepasang suami isteri Shukichi dan Tomi yang sudah berumur yang tinggal di Onimichi, Jepun. Suatu hari, pasangan ini membuat keputusan untuk melawat anak-anak serta menantu mereka yang menetap di Tokyo.

Anak sulung mereka, Koichi bekerja sebagai doktor manakala anak perempuan mereka Shige membuka sebuah kedai salon rambut di pinggir Bandaraya Tokyo. Koichi dan Shige dilihat sebagai sangat mementingkan kerjaya dan keluarga hingga tidak mempunyai masa untuk melayan ibu bapa mereka yang datang melawat. Malah mereka sanggup untuk mengeluarkan duit untuk meletakkan kedua ibu bapa mereka di sebuah pusat peranginan air panas yang terletak di Atami, walaupun tempat tersebut tidak bersesuaian dengan keadaan ibu bapa mereka yang telah tua dan uzur.

Shukichi dan Tomi terpaksa pulang awal dari tempat tersebut kerana tidak tahan dengan aktivi malam di tempat tersebut yang mengganggu tidur mereka. Pasangan tersebut kemudiannya terpaksa mengharapkan menantu mereka yang telah lapan tahun kematian suami (anak kepada Shukichi dan Tomi), yang melayan mereka dengan baik walupun kehidupan dia serba kekurangan.

Pada suatu babak, dilihat pasangan tersebut berbicara tentang bagaimana anak-anak mereka berubah, bermula dari kehidupan semasa kanak-kanak ke zaman remaja hingga mereka berumahtangga dan mempunyai anak sendiri. Walaupun dilihat perubahan tersebut lebih terarah kepada perubahan yang negatif, namun pasangan tua tersebut lebih memandang kepada aspek yang positif. Dalam babak lain, ditunjukkan pula bagaimana anak-anak mereka berbual tentang bagaimana lawatan kedua orang tua mereka sebagai bebanan.

Diakhir cerita, setelah pulang dari Tokyo, Tomi telah jatuh sakit dan meninggal dunia kemudiannya. Digambarkan bagaimana perasaan Shukichi yang sedih dan kesunyian selepas kematian isterinya, dalam masa yang sama anak perumpuannya, Shige pula sibuk untuk mendapatkan pakaian-pakaian yang banyak ditinggalkan oleh mendiang ibunya tanpa memikirkan bagaimana kehidupan bapanya kelak.

Walaupun dikategorikan sebagai filem yang perlahan, namun ianya tidak membosankan dan jalan ceritanya memang menyentuh hati. Pengkritik filem meletakkan filem ini di tangga ketiga filem terhebat sepanjang zaman di The British Filem Institude 2012. Aku berharap suatu hari, akan terdapat produser-produser filem negara kita yang sanggup mengeluarkan bajet untuk menghasilkan filem-filem seperti ini yang menggambarkan realiti sebenar kehidupan dan mengurangkan filem-filem bercorak seram dam komedi yang tidak memberi sebarang faedah.

No comments:

Post a Comment