Translate

Tuesday 30 October 2012

Darth Vader


Watak Darth Vader adalah antara merupakan watak penjahat yang paling dikenali bagi peminat filem. Bermula dari siri pertama Star Wars yang diterbitkan pada tahun 1977 sehingga yang terakhir pada tahun 2005, watak Darth Vader telah dilakonkan oleh tujuh pelakon berbeza. Darth Vader asalnya dilakonkan oleh seorang ahli bina badan iaitu David Prowse, walaubagaimanapun suara bagi watak tersebut adalah suara pelakon James Earl Jones. Sesuatu yang menarik, sewaktu melakonkan watak ini, David Prowse tidak mengetahui apakah dialog yang akan dibicarakan oleh wataknya kerana dialog yang akan dimasukkan kemudian menggunakan suara pelakon lain. David Prowes tidak menyedari bahawa Darth Vader adalah merupakan bapa kepada Luke Skywalker sehinggalah dia sendiri menontonnya.

Untuk aksi lasak dan adengan pertempuran, watak Darth Vader akan dilakonkan oleh Bob Anderson, seorang ahli lawan pedang profesional. Dalam filem Return Of The Jedi, terdapat adegan di mana Luke membuka topeng Darth Vader. Bagi babak ini pelakon Sebastian Shaw mengambil alih melakonkan watak Darth Vader.

Semasa menerbitkan semula trilogi asal filem Star Wars, pengarah George Lucas telah menjalankan pengambaran tambahan yang turut melibatkan watak Darth Vader. Kali ini, George Lucas menggunakan khidmat C. Andrew Nelson sebagai Darth Vader. Bagi tiga siri prekuel Star Wars yang diterbitkan antara tahun 1999 sehingga tahun 2005, pelakon Jake Lloyd dan Hayden Christiansen pula melakon watak Darth Vader (Anakin Skywalker).

Tuesday 23 October 2012

Toy Story - Asal Usul Nama "Barbie"


































Pasti ramai yang pernah menonton trilogi filem Toy Story terbitan Pixar dan Disney. Salah satu watak yang dapat dilihat adalah watak Barbie. Realitinya, permainan Barbie memang sangat popular terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Adakah watak Barbie ini mempunyai nama penuh?....Jawapannya adalah Ya. Nama penuhnya adalah "Barbara Milicent Robert" diambil sempena nama anak penciptanya, Ruth Handler iaitu isteri kepada salah seorang pengasas syarikat barangan permainan kanak-kanak iaitu The Mattel. Ruth mendapat idea untuk penghasilan permainan Barbie selepas melihat anak perempuannya Barbara bermain dengan patung mainan yang dihasilkan daripada kertas. Ruth kemudiannya membawa idea tersebut kepada Syarikat Mattel dan sejak itu, permainan Barbie menjadi sangat popular. Bukan setakat itu sahaja, malah nama teman lelaki Barbie iaitu Ken juga diambil sempena nama anak lelaki Ruth.

Monday 22 October 2012

Filem vs. Fakta Sebenar: Pocahantas (1995)


Pocahantas adalah merupakan sebuah cerita animasi daripada Disney tentang kisah cinta antara seorang puteri masyarakat Asli di Amerika dengan seorang penjajah Inggeris bernama John Smith. Dalam filem ini, kedua-dua watak digambarkan sebagai pasangan dewasa yang jatuh cinta antara satu sama lain selepas Pocahontas menyelamatkan nyawa Smith.

Bagaimanapun, fakta sebenarnya adalah berlainan. Ramai yang tidak mengetahui kisah sebanarnya tentang Pocahantas. Berikut adalah fakta-fakta sebenar tentang kisah hidup Pocahantas:-

  1. Pocahantas sebenarnya hanyalah berumur 11 tahun semasa penjajah Inggeris tiba di Virginia, manakala John Smith pula berumur 28 tahun. 
  2. Kisah Pocahantas menyelamatkan John Smith sememangnya benar-benar berlaku, namun mereka tidak pernah jatuh cinta.  
  3. Pada suatu musim panas, Pocahontas tiba di tempat menempatan koloni Inggeris untuk bertemu Smith, namun dimaklumkan yang dia telah meninggal dunia. Sebenarnya, Smith telah dihantar pulang ke England kerana mengalami kecederaan di kaki. 
  4. Dia kemudiannya bertemu dengan seorang lelaki bernama John Rolfe. Mereka berkahwin dan berpindah ke England. 
  5. Pocahontas di sana dilayan sebagai seorang puteri, hidup mewah bersama antara orang terkaya dan paling berkuasa di Eropah. 
  6. Malangnya, semasa berumur hanya 21 tahun, beliau diserang oleh sejenis penyakit dan akhirnya meninggal dunia di Eropah, dan tidak pernah kembali ke tanah airnya.

Bollywood "King of Romance"






















Lagenda filem Bollywood yang dikenali sebagai "King of Romance" iaitu Yash Chopra dilaporkan telah meninggal dunia akibat demam denggi. Masih ingat lagi, pada pertengan tahun 90-an, filem-filem terbitan dan arahan beliaulah yang membawa kembali kegemilangan filem-filem bollywood di Malaysia setelah menyepi pada tahun 80-an dan awal 90-an. Bermula dengan filem Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), kemudian diikuti filem arahannya Dil To Pagal Hai (1997), demam bollywood mula melanda Malaysia. Dari filem-filem ini jugalah, nama Shah Rukh Khan mula dikenali di negara kita sebelum kedudukan dan popularitinya dikukuhkan dengan filem Kuch Kuch Hota Hai (1998). Filem terakhir arahan beliau adalah Jab Tak Hai Jaan juga dilakonkan oleh Shah Rukh Khan kini sedang menunggu untuk tayangan pada bulan November.

Friday 19 October 2012

Tahukah Anda? Charlie Chaplin


































Charlie Chaplin
  1. Beliau pernah memusnahkan negatif asal untuk filem Sea Gull, (1933). Filem ini tidak pernah ditayangkan. Tindakan ini mungkin kerana beliau kecewa dengan mutu lakonan pelakon wanita utamanya, Edna Purviance.
  2. Pernah empat kali berkahwin; pertama ketika berusia 29 tahun, berkahwin dengan Mildred Harris (17 tahun); kedua ketika berusia 35 tahun, berkahwin dengan Lita Grey (16 tahun); ketiga ketika berusia 47 tahun, berkahwin dengan Paulette Goddard (26 tahun); dan yang terakhir berkahwin dengan Oona O'Neill (17 tahun).
  3. Pada 3 Mac 1978, mayat beliau telah dicuri dari tanah perkuburan Corsier-Sur-Vevey. Ia mengambil masa sehingga 18 Mei sebelum pihak polis mengjumpai semula mayat beliau.
  4. Selepas mayatnya ditemui semula, Chaplin telah dikebumikan semula di dalam peti besi yang dikelilingi oleh konkrit.
  5. Dalam bukunya, "Tramp: The Life of Charlie Chaplin", Joyce Milton menegaskan bahawa novel klasik yang mengundang banyak kontroversi iaitu "Lolita" tulisan Vladimir Nabokov, telah diilhamkan oleh hubungan Chaplin dengan Lita Grey.
  6. Beliau pernah menyertai satu pertandingan untuk mencari peserta yang menyerupai Charlie Chaplin tetapi tewas dan hanya menduduki tempat ketiga!
  7. Beliau merupakan aktor pertama yang menghiasi muka hadapan majalah 'Time'
  8. Hampir semua orang (kini atau semasa hayatnya) percaya bahawa Chaplin mempunyai mata coklat kerana mereka hanya melihat beliau di pada skrin hitam dan putih beserta dengan solekan hitam sekitar mata. Sebenarnya mata beliau bewarna biru. Chaplin pernah berkata di dalam autobiografinya bahawa mereka yang bertemu dengannya buat pertama kali sering terpegun dengan mata birunya.
  9. Walaupun Adolf Hitler bukanlah merupakan peminat beliau - sebenarnya Hitler pernah telah disalah-maklumkan bahawa Charlie adalah seorang Yahudi, dan pernah menghina beliau. Hitler juga sedar bahawa Charlie pada ketika itu sangat dipuja oleh peminatnya di seluruh dunia, dan atas sebab itulah dia menyimpan misai menyerupai Chaplin, dengan harapan dia juga akan dipuja oleh rakyat. (Sumber: The Tramp and the Dictator)
  10. Semasa kecil, beliau telah mengidap suatu penyakit yang serius yang menghadkan pergerakanya hanya di atas katil. Untuk menghiburkan beliau, pada setiap malam, ibunya akan duduk di tingkap dan melakonkan kembali apa yang sedang berlaku di luar rumah. Ini adalah salah satu sebab utama yang mendorong Chaplin menjadi seorang pelawak.
  11. Menyifatkan filem Battleship Potemkin (1925) sebagai filem kegemaran beliau.
  12. Pernah diundi di tempat ke-9 untuk Greatest Movie Star of all time oleh Entertainment Weekly.
  13. Berumur  73 tahun semasa anak bongsunya Christopher dilahirkan.
  14. Lakonan beliau sebagai The Tramp di dalam filem City Lights (1931) berada di kedudukan ke-44; 100 Greatest Performances of All Time (2006) oleh Majalah Premiere.
  15. Marlon Brando berlakon di dalam filem terakhir Chaplin, A Countess from Hong Kong pada tahun 1966. Walaupun Brando sentiasa mengagumi hasil kerja Chaplin dan menyifatkan beliau sebagai "salah seorang antara yang paling berbakat di dalam bidang perfileman yang pernah dihasilkan," namun kedua-dua bintang filem tidak dapat bekerjasama dengan baik semasa pengambaran filem ini. Dalam autobiografinya, Brando menyifatkan Chaplin sebagai antara orang yang paling sadis yang pernah beliau temui. Manakala Chaplin pula berkata bahawa bekerja dengan Brando adalah "mustahil".
  16. Menurut anak perempuannya Geraldine Chaplin, pada tahun-tahun terakhir hayatnya, Chaplin mula risau bahawa dia tidak mungkin dikenang selepas kematiannya. Ini merupakan salah satu sebab utama mengapa dia membenarkan watak yang menjadi 'trademark' beliau iaitu 'The Little Tramp' untuk muncul pada beberapa produk komersial pada tahun 1970-an.
  17. Beliau dilahirkan empat hari sebelum Adolf Hitler dilahirkan.
  18. Filem terakhir yang ditonton beliau (dan amat menyukainya) adalah filem Rocky (1976).
  19. Sehingga tahun 2011, beliau merupakan satu-satunya penerima anugerah Oscar yang menerima "standing ovation" selama 12 minit pada Anugerah Akademi apabila beliau muncul untuk menerima anugerah kehormat untuk "the incalculable effect he has had in making motion pictures the art form of this century." 
  20. Sepanjang bekerja dan menetap di Amerika Syarikat, beliau tidak pernah menjadi seorang warganegara Amerika Syarikat. 

Misteri Anastasia






















Semalam...mood kurang baik. So, selalunya bila keadaan macam aku akan layan filem kartun. Jadi aku layan la filem Anastasia terbitan tahun 1997. Ni kali kedua aku tengok filem ni. Best jugak jalan cerita dia. Ceritanya tentang Anastasia, waris tunggal dari keluarga Diraja Rusia yang terselamat daripada cubaan bunuh oleh Rasputin. Dalam filem ni, ditunjukkan ada beberapa orang wanita yang cuba menonjolkan dirinya sebagai Anastasia.
 















Wajah Anastasia (yang paling kanan)

Realitinya, kisah Anastasia ni merupakan salah satu misteri yang banyak diperkatakan di abad ke-20. Ada beberapa wanita mendakwa menjadi beliau, menawarkan pelbagai cerita tentang bagaimana mereka terselamat dari pembunuhan seluruh keluarganya. Antara yang paling terkenal adalah Anna Anderson. Beliau mula muncul secara terbuka diantara tahun 1920 dan 1922. Beliau menegaskan bahawa semasa kejadian dia bersembunyi disebalik mayat ahli keluarganya dan berpura-pura mati. Kemudiannya dia berjaya melarikan diri selepas mendapat belas kasihan daripada seorang pengawal yang menyedari bahawa dia masih hidup. Beliau menuntut pengiktirafan dan kemudiannya mefailkan kesnya di sebuah mahkamah di Jerman. Perbicaraan berlangsung dari tahun 1938 hingga tahun 1970 yang merupakan kes perbicaraan yang paling lama yang pernah didengar oleh mahkamah di sana. Mahkamah akhirnya membuat keputusan dengan menolak tuntutan beliau kerana kekurangan bukti. 

Anderson meninggal dunia pada tahun 1984 dan mayatnya kemudian dibakar. Pada tahun 1994 satu ujian DNA telah dijalankan pada sampel tisu Anderson terdapat di hospital dan dibandingkan dengan darah Putera Philip, Duke of Edinburgh, cucu Permaisuri Alexandra. Menurut Dr Gill yang menjalankan ujian itu, "Jika betul bahawa sampel ini datang dari Anna Anderson, maka Anna Anderson tidak dapat dikaitkan dengan Tsar Nicholas atau Permaisuri Alexandra." DNA Anderson didapati sama dengan seorang pekerja kilang dari Poland yang telah dilaporkan hilang.











 Wajah Anne Anderson 


 
Anna Anderson merupakan salah seorang daripada sekurang-kurangnya sepuluh wanita yang mendakwa diri mereka adalah Anastasia. Selain daripada Anna, terdapat dua lagi tuntutan yang tidak kurang popularnya iaitu tuntutan daripada Nadezhda Ivanovna Vasilyeva dan Eugenia Smith.



Thursday 18 October 2012

Kolaborasi Pelakon dan Pengarah - Robert De Niro dan Martin Scorsese

Dalam urusan kerja seharian, kita pasti memilih untuk bekerja dengan orang yang kita rasa selesa bekerja bersama. Begitu juga kolaborasi antara pelakon dan pengarah. Keserasian menyebabkan banyak pengarah menggunakan pelakon yang sama untuk filem-filem yang dihasilkan dan diarahkan olehnya. Antara kolaborasi yang terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman adalah kolaborasi antara Robert De Niro dengan Martin Scorsese.

Pengarah Martin Scorsese dan pelakon Robert De Niro telah sering bekerjasama sepanjang kerjaya mereka, dan telah menghasilkan sejumlah lapan filem bersama sejak tahun 1973. Kebanyakan filem mereka adalah bergenre jenayah; yang majoritinya diiktiraf sebagai antara filem terhebat dan terbaik sepanjang zaman.















Sejarah Kolaborasi
Pada tahun 1967, Scorsese telah menghasilkan filem pertamanya dalam bentuk hitam dan putih yang berjudul  I Call First, yang kemudiannya dijudulkan semula sebagai Who's That Knocking at My Door. Filem ini dilakonkan oleh rakannya semasa berlajar iaitu Harvey Keitel. Filem ini mendapat pujian ramai pengarah dan dari sini Scorsese mula berkenalan dengan lain-lain pengarah seperti Francis Ford Coppola, Brian De Palma, George Lucas, Steven Spielberg, dan Robert Zemeckis. De Palma merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Scorsese dengan seoranag pelakon muda iaitu Robert De Niro.

De Niro dan De Palma telah berkenalan selama beberapa tahun sebelum itu, dan filem pertama De Niro iaitu Wedding Party adalah hasil kerjasamanya dengan De Palma pada tahun 1963 pada usia 20 tahun. Walau bagaimanapun, tayangan filem tersebut tertangguh sehingga tahun 1969. Kedua-dua mereka kemudiannya berkolaborasi semula pada tahun 1968 untuk filem Greeting, yang kemudiannya diangkat sebagai filem pertama De Niro.

Mean Streets
Pada tahun 1973, Scorsese dan De Niro buat pertama kalinya bekerjasama melalui filem yang bercorak gangster iaitu Mean Streets. Filem yang menceritakan tentang kehidupan seorang gangster yang tinggal di Little Italy ini dianggap sebagai sebuah filem yang berjaya, dan pada tahun 1997, United States National Film Registry melalui Library of Congress telah memilih filem ini untuk pemeliharaan kerana memaparkan "budaya, sejarah, atau estetika yang penting".

Taxi Driver
Merupakan sebuah filem yang sangat popular. Filem ini meninggalkan impak yang besar, dalam masa yang sama mencetuskan pelbagai kontroversi. Ungkapan 'You talkin' to me?' yang diungkapkan oleh Travis, watak yang dipegang oleh De Niro, telah menjadi salah satu ungkapan yang paling terkenal dalam sejarah perfileman.

New York, New York
Pada tahun 1977, De Niro di bawah arahan Scorsese membintangi Filem New York, New York, sebuah filem drama-muzikal. Ianya merupakan penghormatan untuk bidang seni muzik, dengan memaparkan lagu-lagu baru ciptaan John Kander dan Fred Ebb. Dibintangi De Niro dan Liza Minnelli sebagai sepasang kekasih yang juga merupakan pemuzik. Semasa penggambaran, Scorsese yang telah berkahwin telah menjalinkan hubungan romantis dengan Minnelli dan mula terlibat dengan penggunaan dadah. Andy Warhol pernah menulis didalam diarinya bahawa Minnelli dan Scorsese pernah muncul di hadapan pintu rumah pereka fesyen terkenal itu sambil berkata "Berikan saya setiap dadah yang ada pada kamu". Dihasilkan selepas Taxi Driver, filem ini mencatatkan kerugian. Dengan bajet sebanyak $14 juta, angka yang besar pada masa itu, tetapi ianya hanya mencatatkan pulangan sebanyak $13 juta.

Raging Bull
Pada tahun 1980, Scorsese menghasilkan Raging Bull, sebuah filem yang dibintangi De Niro sebagai peninju mempunyai masalah emosi dan gemar mencederakan diri. De Niro memenangi Oscar untuk peranan beliau dan Scorsese telah dicalonkan sebagai pengarah terbaik, selain enam pencalonan Oscar lain. Filem ini telah dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman, dan telah dipilih sebagai filem sukan terbaik oleh AFI.

The King Of Comedy
Pada tahun 1982 Scorsese dan De Niro menghasilkan filem pertama mereka yang menampilkan unsur-unsur komedi, dalam masa yang sama masih berkaitan dengan genre jenayah. Filem ini memenangi anugerah BAFTA untuk Lakon Layar Asal Terbaik, dan telah dicalonkan untuk empat anugerah lain, termasuk Pengarah Terbaik untuk Scorsese dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk De Niro. Filem ini secara umumnya mendapat pujian daripada pengkritik tetapi kurang mendapat perhatian di Amerika Syarikat.


















Goodfellas 
De Niro dan Scorsese mengambil masa selama lapan tahun, untuk kembali bekerjasama melalui penghasilan filem Goodfellas pada tahun 1990 yang juga dibintangi Ray Liotta dan Joe Pesci. Goodfellas adalah sebuah filem yang sangat berjaya dan telah memenangi lima anugerah BAFTA. Walaubagaimanapun, filem ini ditewaskan oleh filem Dances With Wolves dalam beberapa kategori utama di Anugerah Oscar, tetapi mendapat pujian ramai pengkritik dan dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman. Pada tahun 2005, Majalah Total Film telah menamakan filem klasik ini sebagai antara filem yang terhebat sepanjang zaman.
  
Cape Fear  
Cape Fear, menyaksikan De Niro berlakon watak sebagai perogol yang telah disabitkan kesalahan, dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman selama 14 tahun, mengganggu keluarga peguam bela yang mewakilinya tetapi sengaja menyembunyikan bukti yang boleh membebaskannya Filem ini adalah penghasilan semula bagi filem yang dihasilkan pada tahun 1962 dengan tajuk yang sama. Filem ini secara umumnya menerima ulasan yang menggalakkan dan telah dicalonkan untuk dua anugerah Oscar dan dua BAFTA. Steven Spielberg merupakan penerbit eksekutif untuk filem ini.

Casino
Tahun 1995 menyaksikan De Niro dan Scorsese sekali lagi bersatu dengan Pesci untuk filem  Casino. Filem ini berkisarkan ketamakan, penipuan, wang, kuasa, dan pembunuhan yang berlaku antara dua mobster yang berkawan baik. Filem ini menerima ulasan yang amat menggalakkan. Sharon Stone menerima pencalonan Oscar untuk peranan beliau di dalam filem ini tetapi tidak untuk De Niro serta Scorsese.

Seppuku


Seppuku adalah sebuah filem arahan Masaki Kobayashi terbitan tahun 1962. Pada 23 Februari 2012, pengkritik filem terkenal, Roger Ebert telah menyenaraikan filem ini sebagai salah satu daripada 'Great Movies'. Filem ini pernah menyertai pertandingan Festival Filem Cannes, tetapi tewas kepada filem The Leopard, dan mendapat Anugerah Khas Juri.

Filem ini berkisar kepada konfilk dengan berlatar belakangkan upacara seppuku atau bahasa yang biasa kita gunakan iaitu "Harakiri" iaitu upacara 'memotong perut' ataupun lebih mudah dirujuk sebagai membunuh diri oleh masyarakat Jepun. Seppuku pada asalnya hanya dikhaskan untuk samurai seperti yang terdapat di dalam kod penghormatan bushido. Seppuku digunakan sama ada secara sukarela oleh samurai yang ingin mati dengan penuh penghormatan dan bukannya mati ditangan musuh-musuh mereka (dan mungkin mengalami penyeksaan), atau sebagai satu bentuk hukuman untuk samurai yang telah melakukan kesalahan yang serius, atau dilakukan atas sebab-sebab lain yang telah membawa malu kepada mereka.


Sejarah Seppuku 
Upacara Seppuku yang pertama yang pernah direkodkan telah dilakukan oleh Minamoto no Yorimasa semasa Pertempuran Uji pada tahun 1180. Seppuku kemudiannya telah menjadi sebahagian daripada kod utama bushido, iaitu kod pahlawan samurai. Ia telah digunakan oleh pahlawan-pahlawan samurai untuk mengelakkan perasaan malu jika mereka tertewas ke tangan musuh. Upacara ini juga akan dijalankan jika terdapat arahan daripada daimyo (tuan-tuan feudal) untuk menjalankan Seppuku. Bentuk yang paling biasa Seppuku untuk lelaki terdiri daripada memotong perut, dan apabila samurai telah selesai, dia akan menghulurkan lehernya kepada pembantu untuk dipenggal. Tujuan utama perbuatan ini ialah untuk memulihkan atau memelihara kehormatan seseorang sebagai pahlawan samurai. Mereka yang tidak tergolong dalam kasta samurai tidak pernah diperintahkan untuk menjalankan Seppuku. Samurai umumnya hanya boleh menjalankan perbuatan ini hanya apabila telah mendapat kebenaran.

Kadang-kadang daimyo telah diminta untuk melaksanakan Seppuku sebagai asas perjanjian damai. Ini akan melemahkan puak yang telah dikalahkan supaya tidak wujud sebarang penentangan kemudiannya.


Seppuku di Era Moden
Upacara seppuku telah dimansuhkan pada tahun 1873, sejurus selepas Pemulihan Meiji, tetapi upacara atau adat ini sebenarnya belum berkubur sepenuhnya. Berpuluh-puluh orang diketahui telah melakukan Seppuku sejak itu, termasuk sesetengahnya anggota tentera yang membunuh diri pada tahun 1895 sebagai protes terhadap pemulangan wilayah yang telah dijajah kepada China oleh General Nogi dan isterinya ketika kematian Maharaja Meiji pada tahun 1912, dan oleh tentera dan orang awam banyak yang memilih untuk mati secara seppuku bagi mengelak ketewasan di akhir Perang Dunia II.

Pada tahun 1970, seorang pengarang terkenal Jepun; Yukio Mishima dan salah seorang daripada pengikutnya telah melakukan Seppuku awam di Ibu Pejabat Pertahanan Awam Jepun selepas percubaannya untuk menghasut tentera untuk menggulingkan kerajaan telah gagal. Mishima menjalankan upacara Seppuku di pejabat Jenaral Kanetoshi Mashita. Pengikutnya, Masakatsu Morita yang berusia 25 tahun, mencuba sebanyak tiga kali untuk memenggal kepala Mishima tetapi gagal; kepalanya akhirnya terputus ditangan Hiroyasu Koga. Morita kemudian cuba untuk melakukan Seppuku bagi dirinya. Walaubagaimanapun, belahan perut yang dilakukannya sendiri terlalu cetek untuk membawa maut. Beliau kemudiannya memberi isyarat kepada Koga untuk memenggal kepalanya.

Monday 15 October 2012

Mengapa New York Digelar 'Big Apple'


Baru-baru ini, aku berkesempatan menonton filem Madea's Witness Protectioan arahan dan lakonan Tyler Perry. Aku sebenarnya berminat juga dengan filem-filen Tyler Perry ni. Walaupun banyak filemnya bercorak komedi, namun kalau diamati betul-betul, banyak pengajarannya yang diselitkan terutama dalam aspek hubungan kekeluargaan. Dalam salah satu babak dalam filem ni, watak Madea digambarkan pergi ke New York. Bila sampai di sana, Madea bertanya, manakah 'Big Apple' dan mengapa New York digelar sebagai 'Big Apple'?

Jadi mengapa New York digelar sebagai 'Big Apple'?......Sebenarnya sejarah istilah Big Apple ni boleh dianggap sebagai misteri. Sebelum ini terdapat pendapat yang mengatakan istilah ini dikaitkan dengan kaum hawa dan aktiviti perlacuran yang terdapat di bandaraya ini. Namun kemudiannya pendapat ini telah diklasifikasikan sebagai palsu. 



Rujukan terawal untuk istilah "Big Apple" ini dapat dilihat di dalam buku The Wayfarer In New York terbitan tahun 1909, oleh Edward Martin, yang menulis New York sebagai sebuah bandar yang tamak .... Ia cenderung untuk berfikir bahawa 'Big Apple' adalah sebagai gambaran mendapat sesuatu bahagian yang besar. William Safire pula berpendapat ianya sebagai sistem mata wang, tetapi Kamus Random House Of  Amerika menganggap penggunaan sebagai metafora atau mungkin pepatah.

 Pada awal tahun 1920-an, "Apple" telah digunakan dalam rujukan kepada aktiviti perlumbaan kuda samada di dalam dan sekitar New York. "Apple" disebut hadiah atau ganjaran kepada setiap kemenangan manakala "Big Apple" merujuk sebagai ganjaran yang besar. "Big Apple" pertama kali dipopularkan sebagai rujukan kepada New York oleh John J. Fitz Gerald dalam beberapa artikelnya di New York Morning Telegraph dalam tahun 1920-an merujuk kepada perlumbaan kuda New York. Rujukan terawal adalah pada 3 Mei, 1921

Pada 16 September, istilah "Big Apple" buat pertama kalinya digunakan oleh  “Ragtime” Billy Tucker, penulis untuk Defender yang merujuknya di luar konteks perlumbaan kuda. Billy Tucker merujuk istilah "Big Apple" sebagai sebuah bandar yang besar. Selain New York, beliau juga pernah merujuk Los Angelas sebagai "Big Apple" (bandar besar).

 Menjelang akhir tahun 1920-an, lain-lain penulis di New York selain Fitz Gerald telah mula menggunakan "Big Apple" dan telah menggunakan ia di luar konteks lumba kuda. Pada tahun 1930-an, sebuah lagu dan tarian yang popular bertajuk "Big Apple" telah dihasilkan. Walter Winchell dan beberapa penulis lain terus menggunakan istilah ini dalam tahun 1940-an dan 1950-an.

Menjelang 1960-an, "Big Apple" yang hanya dikenali sebagai nama lama untuk New York. Bagaimanapun, pada awal tahun 1970-an,
New York Convention and Visitors Bureau, di bawah kepimpinan Presidennya, Charles Gillett, mula mempromosikan "Big Apple" untuk bandar New York. Ia kemudiannya telah kekal popular sejak itu. 



Friday 12 October 2012

Tahukah Anda? - Forrest Gump


  1. Beberapa pelakon terkenal pernah menolak untuk melakonkan watak Forrest Gump iaitu Bill Murray, John Travolta dan Chevy Chase.
  2. Pengarah Terry Gilliam dan Barry Sonnenfeld menolak untuk mengarah filem ini.
  3. Bahagian bawah kaki Gary Sinise telah dibalut dengan kain biru khas yang membolehkan kakinya dihilangkan secara digital.
  4. Ketika pengambaran babak Forrest berlari di padang Football, Tom Hanks ketika itu sedang menghidapi virus influenza.
  5.  Bangku 'ikonik' dimana Tom Hanks duduk di dalam filem ini terletak di kawasan bersejarah Savannah, Georgia, di Chippewa Square. Bangku fiberglass itu kemudiannya telah dipindah dan diletakkan ke dalam muzium untuk mengelakkannya rosak akibat faktor cuaca, atau kemungkinan dicuri. Sehingga hari ini, bangku tersebut disimpan di Muzium Sejarah Savannah, Savannah, Georgia.
  6. Tom Hanks memberitahu bahawa beliau hanya akan berlakon di dalam filem ini jika semua peristiwa yang ditonjolkan di dalam filem ini sememangnya benar-benar tercatat di dalam sejarah.
  7. Semasa Forrest berucap pada perhimpunan tentang peperangan Vietnam di Washington, palam mikrofon telah ditarik dan ucapannya tidak dapat didengari. Menurut Tom Hanks, ucapan yang diucapkannya ketika itu adalah "Kadang-kadang apabila orang pergi ke Vietnam, mereka pulang ke  rumah bertemu ibu mereka tanpa kaki. Kadang-kadang mereka tidak pulang ke rumah langsung. Itu adalah satu perkara yang buruk. Itu sahajalah yang ingin saya sampaikan."
  8. Kanak-kanak perumpuan yang berambut merah di dalam bas sekolah adalah merupakan anak kepada Tom Hanks iaitu Elizabeth Hanks.
  9. Pada tahun 2007, American Film Institute menyenaraikan filem ini ditempat ke-76 diantara filem terbaik pernah dihasilkan sepanjang zaman.
  10. Chippewa Square, tempat di mana adegan bangku yang terkenal itu dilakonkan, sebenarnya tidak mempunyai apa-apa bangku yang menghadap ke jalan. Bangku itu ditempatkan di situ oleh team produksi.
  11. Semasa adegan permainan ping-pong, sebenarnya tiada bola yang digunakan. Ianya ditambahkan kemudian melalui teknik CGI.
  12. Mencatatkan rekod sebagai filem terpantas bagi Paramount yang melepasi angka $100 juta, $150 juta dan $200 juta (sehingga Februari 2008).
  13. Setiap gambar Forrest yang terdapat di dalam filem ini menunjukkan Tom Hanks dengan matanya tertutup.

Hollywood Ending



















Filem ni.... aku tak syorkan la untuk ditonton kecuali pada mereka yang minat dan suka filem-filem arahan dan lakonan Woody Allen. Siapa Woody Allen ni...? Ermm..mungkin dalam entry akan datang aku akan ceritakan tentang dia ni.

Apa yang menarik tentang cerita ni? Terus terang aku bagitau, ceritanya simple sahaja, tiada yang menarik pun, kecuali suatu ungkapan yang diucapkan oleh Val, watak yang dipegang oleh Woody Allen. Val adalah seorang pengarah filem yang telah melewati zaman kegemilangannya di tahun 70 dan 80an. Suatu hari, hasil dari pertolongan bekas isterinya, Val mendapat satu tawaran mengarah sebuah filem. Walaubagaimanapun, akibat tekanan, Val kehilangan penglihatannya. Val mengambil keputusan untuk meneruskan kerja mengarah filem walaupun dalam keadaan buta tanpa pengetahuan produser dan staf-staf lain termasuk para pelakonnya. Dengan dibantu oleh bekas isterinya, Val akhirnya berjaya menyiapkan filem tersebut, walaupun kualitinya amat mengecewakan.

Penglihatan Val kemudiannya kembali pulih, dan di waktu ini la Val menyedari bertapa cantiknya bekas isterinya yang banyak menolongnya semasa dia buta. Dan terkeluarlah ungkapan dari mulut Val,...setiap suami..perlu buta untuk seketika... Sebagai seorang suami, ungkapan ini memang memberi kesan yang mendalam pada aku .....errm...perlukah aku buta seketika sebelum aku dapat menghargai kecantikan isteri aku....rasanya tak perlu kot, cukuplah sekadar memegang perpatah melayu.....sayangkan isteri.....tinggal-tinggalkan!