Translate

Friday 21 December 2012

21 Disember 2012 - Part 2

Di sini aku nak kongsikan berita yang diambil dari laman web Kosmo! Online tentang gelagat manusia menunggu hari kiamat:-

Gelagat tunggu hari kiamat

BEBERAPA buah kenderaan polis menuju ke Gunung Pic de Bugarach di pekan Bugarach, selatan Perancis kelmarin. - REUTERS


BEIJING - China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.
Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.

Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.
Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.
Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.

Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya. Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.

Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini. Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut. Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut. Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.


BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. - Agensi


Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat. Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter. Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.

Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi. "Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi," katanya. Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: "Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?"

Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini. Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.

Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.
Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. - Agensi

21 Disember 2012


Hari ni 21 Disember 2012. Berdasarkan kalender Kaum Maya, hari ni diramalkan akan berlaku hari kiamat. Tahukah kita, sebenarnya yang meramalkan hari kiamat ini sebenarnya bukannya Kaum Maya, tetapi adalah idea daripada masyaratkat barat. Pada awalnya ramalan ini bergerak dan merebak dalam tempo yang perlahan tetapi mampu menyakinkan sesiapa yang mendengar atau membacanya. Kemuncak kepada ramalan ini adalah bila filem berjudul 2012 ditayangkan pada tahun 2009. Kesannya, ianya menjadi mimpi ngeri kepada seluruh penduduk dunia. Masih teringat waktu aku ke masjid untuk Solat Jumaat di sebuah pekan kecil di Negeri Perak. Khatib menjadikan ramalan ini sebagai isi khutbahnya. Yang sedihnya, khatib tersebut mempercayai ramalan tersebut dan meminta semua jemaah supaya bersiap sedia menghadapi tarikh tersebut. Dapat dilihat wajah-wajah cemas para jemaah yang mendengar khutbah tersebut.

Merujuk kepada laman web Persatuan Pengguna Islam Malaysia di dalam artikel "Ramalan Kiamat Menjejaskan Akidah", Dr Danial Zainal Abidin, seorang pendakwah terkenal mengatakan "Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat. Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya. Tidak sahaja dalam soal kiamat, malah dalam apa juga ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku".

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat. Dua teks sama ada dari dalil Al-Quran dan hadis Rasullullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai kiamat. Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
 
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).


Friday 30 November 2012

Pertama Kali Tonton Wayang






















Aku boleh dikategorikan sebagai seorang kaki wayang. Pengalaman pertama aku tengok wayang bermula pada tahun 1993. Waktu tu aku berumur 16 tahun. Kalau zaman sekarang rasanya umur 16 tahun baru terdedah dengan wayang rasanya pelik dan janggal kot. Tapi tahun 90-an rasanya situasi macam ni dikira biasa kot. Waktu tu bukan macam sekarang, satu pekan atau bandar hanya ada satu atau dua sahaja panggung wayang. Kat tempat aku Alor Setar waktu tu seingat aku ada dua sahaja kot, Cathay dan Rex. Sekarang dua-dua panggung ni dan tutup, bukan tu saja, malah panggung Cathay pun dah hilang dari pandangan (diroboh la, ganti dengan KFC dan Pizza Hut). Panggung waktu tu.... besar betul!!! bukan macam sekarang, kecil aje. Bab kebersihan jangan cakap la, penuh berterabur kulit-kulit kacang dan kuaci. Air-cond. pula.... bak kata perpatah..hidup segan, mati tak mau.

Kenangan Panggung Cathay Alor Setar sewaktu kerja meroboh.

Filem pertama aku tengok ialah XX Ray di Panggung Cathay Alor Setar. Filem ni lakonan dan arahan Aziz M.Osman. Waktu tu memang hot betul filem ni, antara filem terawal cecah RM1 juta. Waktu tu 1 juta memang tinggi sebab harga tiket hanya RM2 atau RM3 sahaja. Bukan macam sekarang yang dah mencecah RM10!. Sentuhan Aziz M.Osman waktu tu memang menjadi dam selalu dikaitkan sebagai 'Steven Speilberg Malaysia'. Waktu ni aku pergi wayang dengan kakak, anak sedara dan abang ipar aku yang baru balik dari KL. Dia yang bawa dan belanja kami. Lepas filem XX Ray, aku ambik masa 4 tahun untuk kembali menjejakkan kaki aku dalam panggung wayang. Kali ni aku tengok filem The Fifth Element tahun 1997. Waktu ni aku tonton dengan kawan-kawan yang sama belajar dengan aku di UiTM Shah Alam (waktu tu ITM). Bermula dari sini, menonton wayang dah menjadi rutin mingguan aku.


The Outlaw Josey Wales - Amalan Mengunyah Tembakau.


Semalam aku berkesempatan menonton filem The Outlaw Josey Wales keluaran tahun 1976. Filem koboi ni dilakonkan dan diarahkan oleh Clint Eastwood. Filem ni berkisar kepada watak Josey Wales, lakonan Eastwood yang sedang diburu oleh askar-askar Union yang telah membunuh keluarganya. Sepanjang pemburuan ni, Josey bertemu dengan pelbagai watak manusia yang kebanyakannya mahu menangkap atau membunuhnya bagi menuntut duit pertaruhan. Watak Josey digambarkan sebagai seorang yang tenang dan 'macho' dan sering mengunyah dan meludah tembakau.

Bagi peminat filem koboi, pasti biasa melihat amalan menguyah tembakau ni. Bagi yang tidak tahu, pasti tertanya-tanya tentang amalan ni. "Chewing tobaco' adalah sejenis produk tembakau tanpa asap yang dimakan dengan meletakkan bahagian tembakau antara pipi dan gusi dan dikunyah. Tembakau yang hancur bila dikunyah akan menghasilkan nakotin dan akan menghasilkan cairan gelap yang perlu diludah. Sebab tulah dalam filem ni, Josey dilihat sangat kerap meludah.

Tembakau kunyah ni biasanya dihasilkan dalam beberapa bentuk, antaranya yang paling biasa adalah dalam bentuk daun (atau sekerap), Pelet (tembakau "gigitan" atau "bit"), dan "plug" (satu bentuk daun tembakau dengan pemanis). Zaman moden sekarang, hampir semua tembakau kunyah dihasilkan melalui proses pengawetan daun dengan pemanis. Mengunyah tembakau ini sebenarnya merupakan satu kaedah pengambilan tembakau yang tertua terutama di Amerika Syarikat sebelum diambil-alih oleh rokok dalam awal abad ke-20.

Monday 19 November 2012

Abraham Lincoln.


Tahun ini kita dapat menyaksikan 2 buah filem dihasilkan berkaitan dengan bekas Presiden Amerika iaitu Abraham Lincoln. Yang pertama adalah filem bercorak aksi fantasi iaitu Abraham Lincoln: Vampire Hunter yang diarahkan oleh Timur Bekmambetov dan kemudiannya muncul pula filem arahan Steven Spielberg iaitu Lincoln yang lebih kepada penyampaian fatka dan sejarah.

Di sini aku hendak berkongsi satu fakta yang menarik tentang Presiden Amerika yang ke-16 ni. Beliau pernah bermimpi tentang pembunuhan beliau 10 hari sebelum kejadian tersebut benar-benar berlaku. Beliau menceritakan tentang mimpi tersebut pada kawannya 3 hari sebelum dia dibunuh... Di dalam mimipinya, beliau mendengar tangisan dan mendapati keadaan yang suram dan penuh kesedihan seolah-olah terdapat kematian di White House. Beliau kemudiannya menyusuri setiap bilik yang terdapat di White House untuk mencari puncanya, tetapi tiada seorangpun yang beliau temui. Beliau dapati lampu disemua bilik bernyala, tetapi kemana perginya semua orang yang suara tangisannya jelas kedengaran. Beliau kemudiannya mula cemas serta bingung dan berfikir maksud disebalik kejadian tersebut.

Bertekad untuk mencari puncanya, beliau terus berlegar sehingga sampai ke East Room. Setelah memasuki bilik tersebut, beliau menemui suatu perkara yang sangat mengejutkan. Terdapat sebuah keranda yang mempunyai mayat yang mukanya tertutup. Di sekeliling mayat tersebut ditempat askar-askar yang mengawalnya. Kelihatan ramai orang yang berduyun-duyun menziarahi dalam keadaan yang sedih. Bertanya beliau pada salah seorang askar 'siapa yang mati di White House?', dan askar tersebut menjawab 'Presiden telah dibunuh'. Kemudian kedengaran suatu tangisan yang kuat yang telah mengejutkan beliau dari tidur.

Wednesday 14 November 2012

Tokyo Story (1953)


Tokyo Story merupakan sebuah filem keluaran tahun 1953 dan diarahkan oleh Yasujiro Ozu. Plot filem ini sangat mudah, tapi mempunyai mesej yang mendalam. Ceritanya berkenaan sepasang suami isteri Shukichi dan Tomi yang sudah berumur yang tinggal di Onimichi, Jepun. Suatu hari, pasangan ini membuat keputusan untuk melawat anak-anak serta menantu mereka yang menetap di Tokyo.

Anak sulung mereka, Koichi bekerja sebagai doktor manakala anak perempuan mereka Shige membuka sebuah kedai salon rambut di pinggir Bandaraya Tokyo. Koichi dan Shige dilihat sebagai sangat mementingkan kerjaya dan keluarga hingga tidak mempunyai masa untuk melayan ibu bapa mereka yang datang melawat. Malah mereka sanggup untuk mengeluarkan duit untuk meletakkan kedua ibu bapa mereka di sebuah pusat peranginan air panas yang terletak di Atami, walaupun tempat tersebut tidak bersesuaian dengan keadaan ibu bapa mereka yang telah tua dan uzur.

Shukichi dan Tomi terpaksa pulang awal dari tempat tersebut kerana tidak tahan dengan aktivi malam di tempat tersebut yang mengganggu tidur mereka. Pasangan tersebut kemudiannya terpaksa mengharapkan menantu mereka yang telah lapan tahun kematian suami (anak kepada Shukichi dan Tomi), yang melayan mereka dengan baik walupun kehidupan dia serba kekurangan.

Pada suatu babak, dilihat pasangan tersebut berbicara tentang bagaimana anak-anak mereka berubah, bermula dari kehidupan semasa kanak-kanak ke zaman remaja hingga mereka berumahtangga dan mempunyai anak sendiri. Walaupun dilihat perubahan tersebut lebih terarah kepada perubahan yang negatif, namun pasangan tua tersebut lebih memandang kepada aspek yang positif. Dalam babak lain, ditunjukkan pula bagaimana anak-anak mereka berbual tentang bagaimana lawatan kedua orang tua mereka sebagai bebanan.

Diakhir cerita, setelah pulang dari Tokyo, Tomi telah jatuh sakit dan meninggal dunia kemudiannya. Digambarkan bagaimana perasaan Shukichi yang sedih dan kesunyian selepas kematian isterinya, dalam masa yang sama anak perumpuannya, Shige pula sibuk untuk mendapatkan pakaian-pakaian yang banyak ditinggalkan oleh mendiang ibunya tanpa memikirkan bagaimana kehidupan bapanya kelak.

Walaupun dikategorikan sebagai filem yang perlahan, namun ianya tidak membosankan dan jalan ceritanya memang menyentuh hati. Pengkritik filem meletakkan filem ini di tangga ketiga filem terhebat sepanjang zaman di The British Filem Institude 2012. Aku berharap suatu hari, akan terdapat produser-produser filem negara kita yang sanggup mengeluarkan bajet untuk menghasilkan filem-filem seperti ini yang menggambarkan realiti sebenar kehidupan dan mengurangkan filem-filem bercorak seram dam komedi yang tidak memberi sebarang faedah.

Thursday 8 November 2012

Kematian John Lennon

Bagi yang belum tahu, John Lennon adalah merupakan salah seorang anggota kumpulan The Beatles yang sangat terkenal suatu ketika dulu. Beliau juga pernah menyanyi secara solo selepas The Betles berpecah dan pernah berlakon dalam beberapa buah filem seperti Help! dan A Hard Day's Night bersama anggota The Beatles yang lain.

Ada beberapa fakta yang menarik tentang kematian beliau. Antaranya adalah tentang foto terakhir sebelum pembunuhan beliau. Pada hari tersebut, John dan isterinya Yoko Ono bergerak meninggalkan hotel yang mereka diami. Ketika ini mereka bertembung dengan jurugambar yang juga merupakan kenalan baik John iaitu Paul Goresh. Sewaktu mereka berbual, datang seorang peminat yang membawa bersama album John iaitu Double Fantasy untuk ditandatangi oleh beliau.

Semasa John menandatangi album ini, Paul Goresh merakam foto beliau. Termasuk bersama di dalam foto tersebut adalah sebahagian wajah peminat tersebut. Selepas siap menandatangani, peminat tersebut beredar tanpa berkata apa-apa. Kurang dari tujuh jam kemudian, dunia digemparkan dengan berita pembunuhan John Lennon, dan pembunuhnya adalah Mark David Chapman, peminat yang meminta tandatangan beliau sebelum itu. Di bawah adalah foto John Lennon bersama pembunuhnya, Mark David Chapman!

Kempen Pilihanraya...


Semalam, Barack Obama berjaya mengekalkan kuasanya sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua. Teringat filem yang aku tonton lebih kurang dua miggu lepas iaitu The Campaing. Filem komedi lakonan Will Ferrel dan Zach Galifianakis ini berkisar tentang kempen pilihanraya congress di North Carolina. Dua calon yang bertanding adalah Cam Brady (Eill Ferrel) menentang Marty Huggins (Zach).

Dari filem ini dapat dilihat bertapa busuknya kempen kedua-dua calon ini untuk memenangi undi rakyat. Mereka bukannya menaburkan janji-janji yang manis, tetapi lebih kepada menjatuhkan antara satu sama lain melalui serangan peribadi. Cam mereka cerita dengan mengaitkan Marty sebagai pengganas hanya kerana menyimpan misai menyerupai Saddam Hussein, manakala Marty pula menyifatkan Cam sebagai seorang yang rendah pagangan agama dan memperjuangkan prinsip komunis. Bukan itu sahaja, malah skandal seks serta keburukan peribadi dan moral calon juga diangkat sebagai modal untuk meraih undi!

Secara keseluruhannya, aku amat terhibur menonton filem ini walaupun dalam masa yang sama aku memikirkan tentang persamaan situasi yang digambarkan dalam filem ini dengan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang ini.......

Tuesday 6 November 2012

Hasil Kutipan Filem Paling Rendah Dalam Sejarah Hollywood


Setiap filem yang diterbitkan pasti mahu mendapat kutipan tayangan yang tinggi dan menguntungkan. Jika Avatar merupakan filem yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah, apakah filem yang mendapat kutipan yang paling rendah? Jawapannya adalah filem Zyzzyx Road, sebuah filem thriller keluaran tahun 2006. Walaupun dibintangi oleh dua pelakon yang terkenal iaitu Tom Sizemore (pelakon filem Saving Private Ryan) dan Katherine Heigl , filem ini hanya memungut kutipan sebanyak $30. Dengan bajet $1.2 juta, filem ini ditayangkan di Dallas bermula 24 Februari 2006 selama tujuh hari dengan satu tayangan sehari iaitu di waktu tengah hari. Sepanjang tempoh ini hanya enam orang sahaja yang membeli tiket untuk menonton filem ini.

Jack Nicholson...antara ibu dan kakak.




















Jack Nicholson merupakan salah seorang pelakon yang dianggap lagenda di hollywood. Terdapat cerita menarik di sebalik asal keturunannya. Semasa melahirkan beliau, ibunya June hanya berumur 17 tahun. Akibat daripada jarak umur yang dekat, Jack sentiasa menganggap June adalah kakaknya dan menganggap neneknya Ethel Mei (ibu kepada June) adalah ibunya. Kedua-dua ibu dan neneknya tidak pernah memperbetulkan tanggapan ini.

Keadaan ini berlarutan sehingga kedua-dua ibu dan neneknya meninggal dunia. Pada tahun 1974, seorang wartawan Majalah Time telah membuat kajian dan menemui kisah sebenarnya dan memaklumkan penemuannya pada Jack. Akhirnya pada umur 37 tahun, barulah beliau tahu bahawa orang yang dianggapnya kakak selama ini sebenarnya adalah merupakan ibunya.

Monday 5 November 2012

Tahukah Anda? Edward Scissorhands (1990)

 
 
  1. Untuk melakonkan watak Edward Scirssorhands, Johnny Deep dilaporkan terpaksa mengurangkan berat badannya sebanyak 25 pound. 
  2. Dalam filem ini, watak Johnny Deep hanya bertutur sebanyak 169 perkataan sahaja.
  3. Kawasan kejiranan yang dipaparkan dalam filem ini adalah berdasarkan kawasan kejiranan di Burbank, iaitu kampung halaman pengarah filem ini, Tim Burtan.
  4. Antara pelakon yang pernah ditawarkan untuk watak Edward Scirssorhands adalah Tom Cruise, Jim Carrey dan Robert Downey Jr.
  5. Tom Cruise menolak tawaran berlakon di dalam filem ini kerana inginkan penamat 'happy ending' untuk filem ini.
  6. Winona Ryder menolak tawaran untuk berlakon di dalam Filem The Godfather: Part III kerana ingin berlakon di dalam filem ini. Dilaporkan, Johnny Deep lah yang menyakin beliau untuk berbuat demikian.
  7. Filem ini merupakan kemunculan terakhir pelakon Vincent Price dan babak terakhir pula adalah kematiannya.
  8. Johnny Deep dilaporkan pengsan dilokasi akibat kepanasan daripada pakaian kulit yang ketat yang dipakainya.

Tuesday 30 October 2012

Darth Vader


Watak Darth Vader adalah antara merupakan watak penjahat yang paling dikenali bagi peminat filem. Bermula dari siri pertama Star Wars yang diterbitkan pada tahun 1977 sehingga yang terakhir pada tahun 2005, watak Darth Vader telah dilakonkan oleh tujuh pelakon berbeza. Darth Vader asalnya dilakonkan oleh seorang ahli bina badan iaitu David Prowse, walaubagaimanapun suara bagi watak tersebut adalah suara pelakon James Earl Jones. Sesuatu yang menarik, sewaktu melakonkan watak ini, David Prowse tidak mengetahui apakah dialog yang akan dibicarakan oleh wataknya kerana dialog yang akan dimasukkan kemudian menggunakan suara pelakon lain. David Prowes tidak menyedari bahawa Darth Vader adalah merupakan bapa kepada Luke Skywalker sehinggalah dia sendiri menontonnya.

Untuk aksi lasak dan adengan pertempuran, watak Darth Vader akan dilakonkan oleh Bob Anderson, seorang ahli lawan pedang profesional. Dalam filem Return Of The Jedi, terdapat adegan di mana Luke membuka topeng Darth Vader. Bagi babak ini pelakon Sebastian Shaw mengambil alih melakonkan watak Darth Vader.

Semasa menerbitkan semula trilogi asal filem Star Wars, pengarah George Lucas telah menjalankan pengambaran tambahan yang turut melibatkan watak Darth Vader. Kali ini, George Lucas menggunakan khidmat C. Andrew Nelson sebagai Darth Vader. Bagi tiga siri prekuel Star Wars yang diterbitkan antara tahun 1999 sehingga tahun 2005, pelakon Jake Lloyd dan Hayden Christiansen pula melakon watak Darth Vader (Anakin Skywalker).

Tuesday 23 October 2012

Toy Story - Asal Usul Nama "Barbie"


































Pasti ramai yang pernah menonton trilogi filem Toy Story terbitan Pixar dan Disney. Salah satu watak yang dapat dilihat adalah watak Barbie. Realitinya, permainan Barbie memang sangat popular terutamanya bagi kanak-kanak perempuan. Adakah watak Barbie ini mempunyai nama penuh?....Jawapannya adalah Ya. Nama penuhnya adalah "Barbara Milicent Robert" diambil sempena nama anak penciptanya, Ruth Handler iaitu isteri kepada salah seorang pengasas syarikat barangan permainan kanak-kanak iaitu The Mattel. Ruth mendapat idea untuk penghasilan permainan Barbie selepas melihat anak perempuannya Barbara bermain dengan patung mainan yang dihasilkan daripada kertas. Ruth kemudiannya membawa idea tersebut kepada Syarikat Mattel dan sejak itu, permainan Barbie menjadi sangat popular. Bukan setakat itu sahaja, malah nama teman lelaki Barbie iaitu Ken juga diambil sempena nama anak lelaki Ruth.

Monday 22 October 2012

Filem vs. Fakta Sebenar: Pocahantas (1995)


Pocahantas adalah merupakan sebuah cerita animasi daripada Disney tentang kisah cinta antara seorang puteri masyarakat Asli di Amerika dengan seorang penjajah Inggeris bernama John Smith. Dalam filem ini, kedua-dua watak digambarkan sebagai pasangan dewasa yang jatuh cinta antara satu sama lain selepas Pocahontas menyelamatkan nyawa Smith.

Bagaimanapun, fakta sebenarnya adalah berlainan. Ramai yang tidak mengetahui kisah sebanarnya tentang Pocahantas. Berikut adalah fakta-fakta sebenar tentang kisah hidup Pocahantas:-

  1. Pocahantas sebenarnya hanyalah berumur 11 tahun semasa penjajah Inggeris tiba di Virginia, manakala John Smith pula berumur 28 tahun. 
  2. Kisah Pocahantas menyelamatkan John Smith sememangnya benar-benar berlaku, namun mereka tidak pernah jatuh cinta.  
  3. Pada suatu musim panas, Pocahontas tiba di tempat menempatan koloni Inggeris untuk bertemu Smith, namun dimaklumkan yang dia telah meninggal dunia. Sebenarnya, Smith telah dihantar pulang ke England kerana mengalami kecederaan di kaki. 
  4. Dia kemudiannya bertemu dengan seorang lelaki bernama John Rolfe. Mereka berkahwin dan berpindah ke England. 
  5. Pocahontas di sana dilayan sebagai seorang puteri, hidup mewah bersama antara orang terkaya dan paling berkuasa di Eropah. 
  6. Malangnya, semasa berumur hanya 21 tahun, beliau diserang oleh sejenis penyakit dan akhirnya meninggal dunia di Eropah, dan tidak pernah kembali ke tanah airnya.

Bollywood "King of Romance"






















Lagenda filem Bollywood yang dikenali sebagai "King of Romance" iaitu Yash Chopra dilaporkan telah meninggal dunia akibat demam denggi. Masih ingat lagi, pada pertengan tahun 90-an, filem-filem terbitan dan arahan beliaulah yang membawa kembali kegemilangan filem-filem bollywood di Malaysia setelah menyepi pada tahun 80-an dan awal 90-an. Bermula dengan filem Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), kemudian diikuti filem arahannya Dil To Pagal Hai (1997), demam bollywood mula melanda Malaysia. Dari filem-filem ini jugalah, nama Shah Rukh Khan mula dikenali di negara kita sebelum kedudukan dan popularitinya dikukuhkan dengan filem Kuch Kuch Hota Hai (1998). Filem terakhir arahan beliau adalah Jab Tak Hai Jaan juga dilakonkan oleh Shah Rukh Khan kini sedang menunggu untuk tayangan pada bulan November.

Friday 19 October 2012

Tahukah Anda? Charlie Chaplin


































Charlie Chaplin
  1. Beliau pernah memusnahkan negatif asal untuk filem Sea Gull, (1933). Filem ini tidak pernah ditayangkan. Tindakan ini mungkin kerana beliau kecewa dengan mutu lakonan pelakon wanita utamanya, Edna Purviance.
  2. Pernah empat kali berkahwin; pertama ketika berusia 29 tahun, berkahwin dengan Mildred Harris (17 tahun); kedua ketika berusia 35 tahun, berkahwin dengan Lita Grey (16 tahun); ketiga ketika berusia 47 tahun, berkahwin dengan Paulette Goddard (26 tahun); dan yang terakhir berkahwin dengan Oona O'Neill (17 tahun).
  3. Pada 3 Mac 1978, mayat beliau telah dicuri dari tanah perkuburan Corsier-Sur-Vevey. Ia mengambil masa sehingga 18 Mei sebelum pihak polis mengjumpai semula mayat beliau.
  4. Selepas mayatnya ditemui semula, Chaplin telah dikebumikan semula di dalam peti besi yang dikelilingi oleh konkrit.
  5. Dalam bukunya, "Tramp: The Life of Charlie Chaplin", Joyce Milton menegaskan bahawa novel klasik yang mengundang banyak kontroversi iaitu "Lolita" tulisan Vladimir Nabokov, telah diilhamkan oleh hubungan Chaplin dengan Lita Grey.
  6. Beliau pernah menyertai satu pertandingan untuk mencari peserta yang menyerupai Charlie Chaplin tetapi tewas dan hanya menduduki tempat ketiga!
  7. Beliau merupakan aktor pertama yang menghiasi muka hadapan majalah 'Time'
  8. Hampir semua orang (kini atau semasa hayatnya) percaya bahawa Chaplin mempunyai mata coklat kerana mereka hanya melihat beliau di pada skrin hitam dan putih beserta dengan solekan hitam sekitar mata. Sebenarnya mata beliau bewarna biru. Chaplin pernah berkata di dalam autobiografinya bahawa mereka yang bertemu dengannya buat pertama kali sering terpegun dengan mata birunya.
  9. Walaupun Adolf Hitler bukanlah merupakan peminat beliau - sebenarnya Hitler pernah telah disalah-maklumkan bahawa Charlie adalah seorang Yahudi, dan pernah menghina beliau. Hitler juga sedar bahawa Charlie pada ketika itu sangat dipuja oleh peminatnya di seluruh dunia, dan atas sebab itulah dia menyimpan misai menyerupai Chaplin, dengan harapan dia juga akan dipuja oleh rakyat. (Sumber: The Tramp and the Dictator)
  10. Semasa kecil, beliau telah mengidap suatu penyakit yang serius yang menghadkan pergerakanya hanya di atas katil. Untuk menghiburkan beliau, pada setiap malam, ibunya akan duduk di tingkap dan melakonkan kembali apa yang sedang berlaku di luar rumah. Ini adalah salah satu sebab utama yang mendorong Chaplin menjadi seorang pelawak.
  11. Menyifatkan filem Battleship Potemkin (1925) sebagai filem kegemaran beliau.
  12. Pernah diundi di tempat ke-9 untuk Greatest Movie Star of all time oleh Entertainment Weekly.
  13. Berumur  73 tahun semasa anak bongsunya Christopher dilahirkan.
  14. Lakonan beliau sebagai The Tramp di dalam filem City Lights (1931) berada di kedudukan ke-44; 100 Greatest Performances of All Time (2006) oleh Majalah Premiere.
  15. Marlon Brando berlakon di dalam filem terakhir Chaplin, A Countess from Hong Kong pada tahun 1966. Walaupun Brando sentiasa mengagumi hasil kerja Chaplin dan menyifatkan beliau sebagai "salah seorang antara yang paling berbakat di dalam bidang perfileman yang pernah dihasilkan," namun kedua-dua bintang filem tidak dapat bekerjasama dengan baik semasa pengambaran filem ini. Dalam autobiografinya, Brando menyifatkan Chaplin sebagai antara orang yang paling sadis yang pernah beliau temui. Manakala Chaplin pula berkata bahawa bekerja dengan Brando adalah "mustahil".
  16. Menurut anak perempuannya Geraldine Chaplin, pada tahun-tahun terakhir hayatnya, Chaplin mula risau bahawa dia tidak mungkin dikenang selepas kematiannya. Ini merupakan salah satu sebab utama mengapa dia membenarkan watak yang menjadi 'trademark' beliau iaitu 'The Little Tramp' untuk muncul pada beberapa produk komersial pada tahun 1970-an.
  17. Beliau dilahirkan empat hari sebelum Adolf Hitler dilahirkan.
  18. Filem terakhir yang ditonton beliau (dan amat menyukainya) adalah filem Rocky (1976).
  19. Sehingga tahun 2011, beliau merupakan satu-satunya penerima anugerah Oscar yang menerima "standing ovation" selama 12 minit pada Anugerah Akademi apabila beliau muncul untuk menerima anugerah kehormat untuk "the incalculable effect he has had in making motion pictures the art form of this century." 
  20. Sepanjang bekerja dan menetap di Amerika Syarikat, beliau tidak pernah menjadi seorang warganegara Amerika Syarikat. 

Misteri Anastasia






















Semalam...mood kurang baik. So, selalunya bila keadaan macam aku akan layan filem kartun. Jadi aku layan la filem Anastasia terbitan tahun 1997. Ni kali kedua aku tengok filem ni. Best jugak jalan cerita dia. Ceritanya tentang Anastasia, waris tunggal dari keluarga Diraja Rusia yang terselamat daripada cubaan bunuh oleh Rasputin. Dalam filem ni, ditunjukkan ada beberapa orang wanita yang cuba menonjolkan dirinya sebagai Anastasia.
 















Wajah Anastasia (yang paling kanan)

Realitinya, kisah Anastasia ni merupakan salah satu misteri yang banyak diperkatakan di abad ke-20. Ada beberapa wanita mendakwa menjadi beliau, menawarkan pelbagai cerita tentang bagaimana mereka terselamat dari pembunuhan seluruh keluarganya. Antara yang paling terkenal adalah Anna Anderson. Beliau mula muncul secara terbuka diantara tahun 1920 dan 1922. Beliau menegaskan bahawa semasa kejadian dia bersembunyi disebalik mayat ahli keluarganya dan berpura-pura mati. Kemudiannya dia berjaya melarikan diri selepas mendapat belas kasihan daripada seorang pengawal yang menyedari bahawa dia masih hidup. Beliau menuntut pengiktirafan dan kemudiannya mefailkan kesnya di sebuah mahkamah di Jerman. Perbicaraan berlangsung dari tahun 1938 hingga tahun 1970 yang merupakan kes perbicaraan yang paling lama yang pernah didengar oleh mahkamah di sana. Mahkamah akhirnya membuat keputusan dengan menolak tuntutan beliau kerana kekurangan bukti. 

Anderson meninggal dunia pada tahun 1984 dan mayatnya kemudian dibakar. Pada tahun 1994 satu ujian DNA telah dijalankan pada sampel tisu Anderson terdapat di hospital dan dibandingkan dengan darah Putera Philip, Duke of Edinburgh, cucu Permaisuri Alexandra. Menurut Dr Gill yang menjalankan ujian itu, "Jika betul bahawa sampel ini datang dari Anna Anderson, maka Anna Anderson tidak dapat dikaitkan dengan Tsar Nicholas atau Permaisuri Alexandra." DNA Anderson didapati sama dengan seorang pekerja kilang dari Poland yang telah dilaporkan hilang.











 Wajah Anne Anderson 


 
Anna Anderson merupakan salah seorang daripada sekurang-kurangnya sepuluh wanita yang mendakwa diri mereka adalah Anastasia. Selain daripada Anna, terdapat dua lagi tuntutan yang tidak kurang popularnya iaitu tuntutan daripada Nadezhda Ivanovna Vasilyeva dan Eugenia Smith.



Thursday 18 October 2012

Kolaborasi Pelakon dan Pengarah - Robert De Niro dan Martin Scorsese

Dalam urusan kerja seharian, kita pasti memilih untuk bekerja dengan orang yang kita rasa selesa bekerja bersama. Begitu juga kolaborasi antara pelakon dan pengarah. Keserasian menyebabkan banyak pengarah menggunakan pelakon yang sama untuk filem-filem yang dihasilkan dan diarahkan olehnya. Antara kolaborasi yang terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman adalah kolaborasi antara Robert De Niro dengan Martin Scorsese.

Pengarah Martin Scorsese dan pelakon Robert De Niro telah sering bekerjasama sepanjang kerjaya mereka, dan telah menghasilkan sejumlah lapan filem bersama sejak tahun 1973. Kebanyakan filem mereka adalah bergenre jenayah; yang majoritinya diiktiraf sebagai antara filem terhebat dan terbaik sepanjang zaman.















Sejarah Kolaborasi
Pada tahun 1967, Scorsese telah menghasilkan filem pertamanya dalam bentuk hitam dan putih yang berjudul  I Call First, yang kemudiannya dijudulkan semula sebagai Who's That Knocking at My Door. Filem ini dilakonkan oleh rakannya semasa berlajar iaitu Harvey Keitel. Filem ini mendapat pujian ramai pengarah dan dari sini Scorsese mula berkenalan dengan lain-lain pengarah seperti Francis Ford Coppola, Brian De Palma, George Lucas, Steven Spielberg, dan Robert Zemeckis. De Palma merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Scorsese dengan seoranag pelakon muda iaitu Robert De Niro.

De Niro dan De Palma telah berkenalan selama beberapa tahun sebelum itu, dan filem pertama De Niro iaitu Wedding Party adalah hasil kerjasamanya dengan De Palma pada tahun 1963 pada usia 20 tahun. Walau bagaimanapun, tayangan filem tersebut tertangguh sehingga tahun 1969. Kedua-dua mereka kemudiannya berkolaborasi semula pada tahun 1968 untuk filem Greeting, yang kemudiannya diangkat sebagai filem pertama De Niro.

Mean Streets
Pada tahun 1973, Scorsese dan De Niro buat pertama kalinya bekerjasama melalui filem yang bercorak gangster iaitu Mean Streets. Filem yang menceritakan tentang kehidupan seorang gangster yang tinggal di Little Italy ini dianggap sebagai sebuah filem yang berjaya, dan pada tahun 1997, United States National Film Registry melalui Library of Congress telah memilih filem ini untuk pemeliharaan kerana memaparkan "budaya, sejarah, atau estetika yang penting".

Taxi Driver
Merupakan sebuah filem yang sangat popular. Filem ini meninggalkan impak yang besar, dalam masa yang sama mencetuskan pelbagai kontroversi. Ungkapan 'You talkin' to me?' yang diungkapkan oleh Travis, watak yang dipegang oleh De Niro, telah menjadi salah satu ungkapan yang paling terkenal dalam sejarah perfileman.

New York, New York
Pada tahun 1977, De Niro di bawah arahan Scorsese membintangi Filem New York, New York, sebuah filem drama-muzikal. Ianya merupakan penghormatan untuk bidang seni muzik, dengan memaparkan lagu-lagu baru ciptaan John Kander dan Fred Ebb. Dibintangi De Niro dan Liza Minnelli sebagai sepasang kekasih yang juga merupakan pemuzik. Semasa penggambaran, Scorsese yang telah berkahwin telah menjalinkan hubungan romantis dengan Minnelli dan mula terlibat dengan penggunaan dadah. Andy Warhol pernah menulis didalam diarinya bahawa Minnelli dan Scorsese pernah muncul di hadapan pintu rumah pereka fesyen terkenal itu sambil berkata "Berikan saya setiap dadah yang ada pada kamu". Dihasilkan selepas Taxi Driver, filem ini mencatatkan kerugian. Dengan bajet sebanyak $14 juta, angka yang besar pada masa itu, tetapi ianya hanya mencatatkan pulangan sebanyak $13 juta.

Raging Bull
Pada tahun 1980, Scorsese menghasilkan Raging Bull, sebuah filem yang dibintangi De Niro sebagai peninju mempunyai masalah emosi dan gemar mencederakan diri. De Niro memenangi Oscar untuk peranan beliau dan Scorsese telah dicalonkan sebagai pengarah terbaik, selain enam pencalonan Oscar lain. Filem ini telah dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman, dan telah dipilih sebagai filem sukan terbaik oleh AFI.

The King Of Comedy
Pada tahun 1982 Scorsese dan De Niro menghasilkan filem pertama mereka yang menampilkan unsur-unsur komedi, dalam masa yang sama masih berkaitan dengan genre jenayah. Filem ini memenangi anugerah BAFTA untuk Lakon Layar Asal Terbaik, dan telah dicalonkan untuk empat anugerah lain, termasuk Pengarah Terbaik untuk Scorsese dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk De Niro. Filem ini secara umumnya mendapat pujian daripada pengkritik tetapi kurang mendapat perhatian di Amerika Syarikat.


















Goodfellas 
De Niro dan Scorsese mengambil masa selama lapan tahun, untuk kembali bekerjasama melalui penghasilan filem Goodfellas pada tahun 1990 yang juga dibintangi Ray Liotta dan Joe Pesci. Goodfellas adalah sebuah filem yang sangat berjaya dan telah memenangi lima anugerah BAFTA. Walaubagaimanapun, filem ini ditewaskan oleh filem Dances With Wolves dalam beberapa kategori utama di Anugerah Oscar, tetapi mendapat pujian ramai pengkritik dan dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman. Pada tahun 2005, Majalah Total Film telah menamakan filem klasik ini sebagai antara filem yang terhebat sepanjang zaman.
  
Cape Fear  
Cape Fear, menyaksikan De Niro berlakon watak sebagai perogol yang telah disabitkan kesalahan, dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman selama 14 tahun, mengganggu keluarga peguam bela yang mewakilinya tetapi sengaja menyembunyikan bukti yang boleh membebaskannya Filem ini adalah penghasilan semula bagi filem yang dihasilkan pada tahun 1962 dengan tajuk yang sama. Filem ini secara umumnya menerima ulasan yang menggalakkan dan telah dicalonkan untuk dua anugerah Oscar dan dua BAFTA. Steven Spielberg merupakan penerbit eksekutif untuk filem ini.

Casino
Tahun 1995 menyaksikan De Niro dan Scorsese sekali lagi bersatu dengan Pesci untuk filem  Casino. Filem ini berkisarkan ketamakan, penipuan, wang, kuasa, dan pembunuhan yang berlaku antara dua mobster yang berkawan baik. Filem ini menerima ulasan yang amat menggalakkan. Sharon Stone menerima pencalonan Oscar untuk peranan beliau di dalam filem ini tetapi tidak untuk De Niro serta Scorsese.

Seppuku


Seppuku adalah sebuah filem arahan Masaki Kobayashi terbitan tahun 1962. Pada 23 Februari 2012, pengkritik filem terkenal, Roger Ebert telah menyenaraikan filem ini sebagai salah satu daripada 'Great Movies'. Filem ini pernah menyertai pertandingan Festival Filem Cannes, tetapi tewas kepada filem The Leopard, dan mendapat Anugerah Khas Juri.

Filem ini berkisar kepada konfilk dengan berlatar belakangkan upacara seppuku atau bahasa yang biasa kita gunakan iaitu "Harakiri" iaitu upacara 'memotong perut' ataupun lebih mudah dirujuk sebagai membunuh diri oleh masyarakat Jepun. Seppuku pada asalnya hanya dikhaskan untuk samurai seperti yang terdapat di dalam kod penghormatan bushido. Seppuku digunakan sama ada secara sukarela oleh samurai yang ingin mati dengan penuh penghormatan dan bukannya mati ditangan musuh-musuh mereka (dan mungkin mengalami penyeksaan), atau sebagai satu bentuk hukuman untuk samurai yang telah melakukan kesalahan yang serius, atau dilakukan atas sebab-sebab lain yang telah membawa malu kepada mereka.


Sejarah Seppuku 
Upacara Seppuku yang pertama yang pernah direkodkan telah dilakukan oleh Minamoto no Yorimasa semasa Pertempuran Uji pada tahun 1180. Seppuku kemudiannya telah menjadi sebahagian daripada kod utama bushido, iaitu kod pahlawan samurai. Ia telah digunakan oleh pahlawan-pahlawan samurai untuk mengelakkan perasaan malu jika mereka tertewas ke tangan musuh. Upacara ini juga akan dijalankan jika terdapat arahan daripada daimyo (tuan-tuan feudal) untuk menjalankan Seppuku. Bentuk yang paling biasa Seppuku untuk lelaki terdiri daripada memotong perut, dan apabila samurai telah selesai, dia akan menghulurkan lehernya kepada pembantu untuk dipenggal. Tujuan utama perbuatan ini ialah untuk memulihkan atau memelihara kehormatan seseorang sebagai pahlawan samurai. Mereka yang tidak tergolong dalam kasta samurai tidak pernah diperintahkan untuk menjalankan Seppuku. Samurai umumnya hanya boleh menjalankan perbuatan ini hanya apabila telah mendapat kebenaran.

Kadang-kadang daimyo telah diminta untuk melaksanakan Seppuku sebagai asas perjanjian damai. Ini akan melemahkan puak yang telah dikalahkan supaya tidak wujud sebarang penentangan kemudiannya.


Seppuku di Era Moden
Upacara seppuku telah dimansuhkan pada tahun 1873, sejurus selepas Pemulihan Meiji, tetapi upacara atau adat ini sebenarnya belum berkubur sepenuhnya. Berpuluh-puluh orang diketahui telah melakukan Seppuku sejak itu, termasuk sesetengahnya anggota tentera yang membunuh diri pada tahun 1895 sebagai protes terhadap pemulangan wilayah yang telah dijajah kepada China oleh General Nogi dan isterinya ketika kematian Maharaja Meiji pada tahun 1912, dan oleh tentera dan orang awam banyak yang memilih untuk mati secara seppuku bagi mengelak ketewasan di akhir Perang Dunia II.

Pada tahun 1970, seorang pengarang terkenal Jepun; Yukio Mishima dan salah seorang daripada pengikutnya telah melakukan Seppuku awam di Ibu Pejabat Pertahanan Awam Jepun selepas percubaannya untuk menghasut tentera untuk menggulingkan kerajaan telah gagal. Mishima menjalankan upacara Seppuku di pejabat Jenaral Kanetoshi Mashita. Pengikutnya, Masakatsu Morita yang berusia 25 tahun, mencuba sebanyak tiga kali untuk memenggal kepala Mishima tetapi gagal; kepalanya akhirnya terputus ditangan Hiroyasu Koga. Morita kemudian cuba untuk melakukan Seppuku bagi dirinya. Walaubagaimanapun, belahan perut yang dilakukannya sendiri terlalu cetek untuk membawa maut. Beliau kemudiannya memberi isyarat kepada Koga untuk memenggal kepalanya.