Translate

Friday 21 December 2012

21 Disember 2012 - Part 2

Di sini aku nak kongsikan berita yang diambil dari laman web Kosmo! Online tentang gelagat manusia menunggu hari kiamat:-

Gelagat tunggu hari kiamat

BEBERAPA buah kenderaan polis menuju ke Gunung Pic de Bugarach di pekan Bugarach, selatan Perancis kelmarin. - REUTERS


BEIJING - China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.
Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.

Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.
Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.
Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.

Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya. Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.

Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini. Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut. Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut. Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.


BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. - Agensi


Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat. Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter. Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.

Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi. "Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi," katanya. Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: "Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?"

Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini. Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.

Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.
Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. - Agensi

21 Disember 2012


Hari ni 21 Disember 2012. Berdasarkan kalender Kaum Maya, hari ni diramalkan akan berlaku hari kiamat. Tahukah kita, sebenarnya yang meramalkan hari kiamat ini sebenarnya bukannya Kaum Maya, tetapi adalah idea daripada masyaratkat barat. Pada awalnya ramalan ini bergerak dan merebak dalam tempo yang perlahan tetapi mampu menyakinkan sesiapa yang mendengar atau membacanya. Kemuncak kepada ramalan ini adalah bila filem berjudul 2012 ditayangkan pada tahun 2009. Kesannya, ianya menjadi mimpi ngeri kepada seluruh penduduk dunia. Masih teringat waktu aku ke masjid untuk Solat Jumaat di sebuah pekan kecil di Negeri Perak. Khatib menjadikan ramalan ini sebagai isi khutbahnya. Yang sedihnya, khatib tersebut mempercayai ramalan tersebut dan meminta semua jemaah supaya bersiap sedia menghadapi tarikh tersebut. Dapat dilihat wajah-wajah cemas para jemaah yang mendengar khutbah tersebut.

Merujuk kepada laman web Persatuan Pengguna Islam Malaysia di dalam artikel "Ramalan Kiamat Menjejaskan Akidah", Dr Danial Zainal Abidin, seorang pendakwah terkenal mengatakan "Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat. Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya. Tidak sahaja dalam soal kiamat, malah dalam apa juga ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku".

Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat. Dua teks sama ada dari dalil Al-Quran dan hadis Rasullullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai kiamat. Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
 
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).