Translate

Thursday 18 October 2012

Kolaborasi Pelakon dan Pengarah - Robert De Niro dan Martin Scorsese

Dalam urusan kerja seharian, kita pasti memilih untuk bekerja dengan orang yang kita rasa selesa bekerja bersama. Begitu juga kolaborasi antara pelakon dan pengarah. Keserasian menyebabkan banyak pengarah menggunakan pelakon yang sama untuk filem-filem yang dihasilkan dan diarahkan olehnya. Antara kolaborasi yang terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman adalah kolaborasi antara Robert De Niro dengan Martin Scorsese.

Pengarah Martin Scorsese dan pelakon Robert De Niro telah sering bekerjasama sepanjang kerjaya mereka, dan telah menghasilkan sejumlah lapan filem bersama sejak tahun 1973. Kebanyakan filem mereka adalah bergenre jenayah; yang majoritinya diiktiraf sebagai antara filem terhebat dan terbaik sepanjang zaman.















Sejarah Kolaborasi
Pada tahun 1967, Scorsese telah menghasilkan filem pertamanya dalam bentuk hitam dan putih yang berjudul  I Call First, yang kemudiannya dijudulkan semula sebagai Who's That Knocking at My Door. Filem ini dilakonkan oleh rakannya semasa berlajar iaitu Harvey Keitel. Filem ini mendapat pujian ramai pengarah dan dari sini Scorsese mula berkenalan dengan lain-lain pengarah seperti Francis Ford Coppola, Brian De Palma, George Lucas, Steven Spielberg, dan Robert Zemeckis. De Palma merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Scorsese dengan seoranag pelakon muda iaitu Robert De Niro.

De Niro dan De Palma telah berkenalan selama beberapa tahun sebelum itu, dan filem pertama De Niro iaitu Wedding Party adalah hasil kerjasamanya dengan De Palma pada tahun 1963 pada usia 20 tahun. Walau bagaimanapun, tayangan filem tersebut tertangguh sehingga tahun 1969. Kedua-dua mereka kemudiannya berkolaborasi semula pada tahun 1968 untuk filem Greeting, yang kemudiannya diangkat sebagai filem pertama De Niro.

Mean Streets
Pada tahun 1973, Scorsese dan De Niro buat pertama kalinya bekerjasama melalui filem yang bercorak gangster iaitu Mean Streets. Filem yang menceritakan tentang kehidupan seorang gangster yang tinggal di Little Italy ini dianggap sebagai sebuah filem yang berjaya, dan pada tahun 1997, United States National Film Registry melalui Library of Congress telah memilih filem ini untuk pemeliharaan kerana memaparkan "budaya, sejarah, atau estetika yang penting".

Taxi Driver
Merupakan sebuah filem yang sangat popular. Filem ini meninggalkan impak yang besar, dalam masa yang sama mencetuskan pelbagai kontroversi. Ungkapan 'You talkin' to me?' yang diungkapkan oleh Travis, watak yang dipegang oleh De Niro, telah menjadi salah satu ungkapan yang paling terkenal dalam sejarah perfileman.

New York, New York
Pada tahun 1977, De Niro di bawah arahan Scorsese membintangi Filem New York, New York, sebuah filem drama-muzikal. Ianya merupakan penghormatan untuk bidang seni muzik, dengan memaparkan lagu-lagu baru ciptaan John Kander dan Fred Ebb. Dibintangi De Niro dan Liza Minnelli sebagai sepasang kekasih yang juga merupakan pemuzik. Semasa penggambaran, Scorsese yang telah berkahwin telah menjalinkan hubungan romantis dengan Minnelli dan mula terlibat dengan penggunaan dadah. Andy Warhol pernah menulis didalam diarinya bahawa Minnelli dan Scorsese pernah muncul di hadapan pintu rumah pereka fesyen terkenal itu sambil berkata "Berikan saya setiap dadah yang ada pada kamu". Dihasilkan selepas Taxi Driver, filem ini mencatatkan kerugian. Dengan bajet sebanyak $14 juta, angka yang besar pada masa itu, tetapi ianya hanya mencatatkan pulangan sebanyak $13 juta.

Raging Bull
Pada tahun 1980, Scorsese menghasilkan Raging Bull, sebuah filem yang dibintangi De Niro sebagai peninju mempunyai masalah emosi dan gemar mencederakan diri. De Niro memenangi Oscar untuk peranan beliau dan Scorsese telah dicalonkan sebagai pengarah terbaik, selain enam pencalonan Oscar lain. Filem ini telah dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman, dan telah dipilih sebagai filem sukan terbaik oleh AFI.

The King Of Comedy
Pada tahun 1982 Scorsese dan De Niro menghasilkan filem pertama mereka yang menampilkan unsur-unsur komedi, dalam masa yang sama masih berkaitan dengan genre jenayah. Filem ini memenangi anugerah BAFTA untuk Lakon Layar Asal Terbaik, dan telah dicalonkan untuk empat anugerah lain, termasuk Pengarah Terbaik untuk Scorsese dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk De Niro. Filem ini secara umumnya mendapat pujian daripada pengkritik tetapi kurang mendapat perhatian di Amerika Syarikat.


















Goodfellas 
De Niro dan Scorsese mengambil masa selama lapan tahun, untuk kembali bekerjasama melalui penghasilan filem Goodfellas pada tahun 1990 yang juga dibintangi Ray Liotta dan Joe Pesci. Goodfellas adalah sebuah filem yang sangat berjaya dan telah memenangi lima anugerah BAFTA. Walaubagaimanapun, filem ini ditewaskan oleh filem Dances With Wolves dalam beberapa kategori utama di Anugerah Oscar, tetapi mendapat pujian ramai pengkritik dan dianggap sebagai salah satu filem terhebat sepanjang zaman. Pada tahun 2005, Majalah Total Film telah menamakan filem klasik ini sebagai antara filem yang terhebat sepanjang zaman.
  
Cape Fear  
Cape Fear, menyaksikan De Niro berlakon watak sebagai perogol yang telah disabitkan kesalahan, dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman selama 14 tahun, mengganggu keluarga peguam bela yang mewakilinya tetapi sengaja menyembunyikan bukti yang boleh membebaskannya Filem ini adalah penghasilan semula bagi filem yang dihasilkan pada tahun 1962 dengan tajuk yang sama. Filem ini secara umumnya menerima ulasan yang menggalakkan dan telah dicalonkan untuk dua anugerah Oscar dan dua BAFTA. Steven Spielberg merupakan penerbit eksekutif untuk filem ini.

Casino
Tahun 1995 menyaksikan De Niro dan Scorsese sekali lagi bersatu dengan Pesci untuk filem  Casino. Filem ini berkisarkan ketamakan, penipuan, wang, kuasa, dan pembunuhan yang berlaku antara dua mobster yang berkawan baik. Filem ini menerima ulasan yang amat menggalakkan. Sharon Stone menerima pencalonan Oscar untuk peranan beliau di dalam filem ini tetapi tidak untuk De Niro serta Scorsese.

No comments:

Post a Comment